BM|ENG

Institut Kajian Etnik (KITA) telah ditubuhkan secara rasmi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 8 Oktober 2007, bersamaan tarikh perlantikan Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri  Baharuddin sebagai Pengarah Pengasasnya.

KITA merupakan satu-satunya institut penyelidikan di Malaysia yang sepenuhnya memfokuskan kajian terhadap ‘etnik’ dan ‘etnisiti.’ Walaupun orientasi akademiknya bersifat ‘kajian tematik,’ namun KITA didukung kuat oleh orientasi ‘kajian disiplin’ dan ‘kajian wilayah,’ justru itu KITA menggalakkan kegiatan silang-disiplin yang melibatkan tiga sektor utama masyarakat, iaitu, sektor awam, sektor swasta dan sektor komuniti. Makanya KITA melaksanakan kegiatannya dengan menggunakan pendekatan ‘inclusivist.’

Sememangnya diketahui umum bahawa kajian etnik muncul daripada keadaan traumatik dan kadang kala berkait dengan keganasan.  Walau bagaimanapun, dalam kes Malaysia, soalan yang seringkali ditanyakan ialah “bagaimanakah Malaysia mampu mengekalkan hubungan etnik harmonis yang stabil dari segi komparatif dan relatif?” Justru itu usaha mencari jawapan yang boleh mempertahankan soalan ini menjadi motivasi pengwujudan KITA.

Namun dorongan yang lebih utama kepada KITA adalah untuk memahami fenomena peningkatan pluralisasi etnik dalam masyarakat di seluruh dunia yang muncul akibat globalisasi dan pergerakan tenaga buruh bersifat transnasional secara besar-besaran, yang sekali gus telah menimbulkan suatu keadaan bersifat sosiologikal yang baru lagi kompleks. Ini merupakan suatu cabaran teoretikal-konseptual besar dari segi analisis akademik dan advokasi serta dasar awam yang perlu ditangani oleh KITA.

Mulai semester 2 sesi 2009/2010, KITA telah menawarkan program siswazah peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Etnik. Program pengajian ini ditawarkan dalam bentuk tesis secara separuh dan sepenuh masa. Mereka yang berminat boleh berhubung terus dengan Pusat Pengurusan Siswazah (PPS), UKM melalui laman web berikut: http://www.ukm.my/pps

Dari segi organisasi, KITA mengandungi LIMA rumpun penyelidikan. Setiap satunya diketuai oleh seorang sarjana atau ahli profesional yang mempunyai rekod prestasi cemerlang. Masing-masing bertanggungjawab untuk merancang dan membangun semua kegiatan setiap rumpun penyelidikan berkenaan dan mendapatkan dana penyelidikan daripada sumber dalam dan luar UKM. Disebabkan UKM telah diangkat sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan, setiap rumpun penyelidikan dituntut untuk mewujudkan sebuah Jaringan Penasihat Antarabangsa masing-masing untuk, dari semasa ke semasa, menasihati serta menilai segala kegiatannya bersandarkan penanda aras antarabangsa.

Visi

Ke arah mengekalkan perbandingan dan relatif suatu hubungan berorientasikan inklusif ,kestabilan dan harmoni dalam dan antara kaum di kalangan rakyat Malaysia dan diluar.

Misi

Untuk memupuk dan membina inklusif, pendekatan strategik yang pelbagai dalam menangani cabaran kompleks berasaskan etnik dan yang berkaitan